
Aenean ligula mol stie viver
May 4, 2014Universiti Selangor (UNISEL) melakar langkah signifikan apabila turun padang ke bumi Tawau sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabah.
Karnival berprestij ini menghimpunkan 51 buah universiti awam dan swasta dari seluruh negara sebagai platform pendedahan dan bimbingan pendidikan tinggi kepada lepasan sekolah dan masyarakat setempat.
Majlis karnival telah diserikan dengan Ucapan Alu-aluan oleh YBrs. Dr. Shamsuri Bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi. Beliau menekankan kepentingan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan menyeluruh, khususnya kepada generasi muda di luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Karnival JMU 2026 ini seterusnya dirasmikan oleh YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa program seperti JMU bukan sahaja membuka pintu kepada peluang pendidikan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan aspirasi anak muda dengan institusi pengajian tinggi.
“Pendidikan adalah pelaburan paling bernilai untuk masa depan negara. Karnival seperti ini membolehkan pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat terus daripada universiti, seterusnya membuat pilihan yang tepat untuk hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka,” ujar beliau.
Beliau turut berkesempatan menyinggah ke reruai pameran UNISEL, sambil mengalu-alukan kehadiran warga Tawau dan sekitarnya untuk mengenali dengan lebih dekat peluang pengajian yang ditawarkan oleh UNISEL, termasuk program akademik, kemudahan kampus serta laluan kerjaya graduan.
Bagi warga Tawau yang masih belum berkesempatan hadir, anda dijemput untuk mengunjungi reruai UNISEL esok, Ahad, 8 Februari 2026, bertempat di Kompleks Sukan Tawau, Sabah. Pelbagai maklumat dan khidmat nasihat pendidikan disediakan khas untuk anda.
PEJABAT KOMUNIKASI KORPORAT
Universiti Selangor
7 Februari 2026


