Seramai 2696 orang graduan menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) Ke-19 bertempat di UNISEL, Kampus Bestari Jaya. Jumlah tersebut merangkumi 302 graduan yang mengikuti peringkat Tahun Asas, 1225 graduan peringkat Diploma, 1122 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 26 graduan peringkat Ijazah Sarjana, dan 21 graduan peringkat Kedoktoran. Istiadat penuh warna-warni dan gilang gemilang ini berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 September 2025.
Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada 27 September yang disempurnakan oleh YAD Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj selaku Canselor UNISEL diiringi Pro Canselor YBhg Tan Sri Muhammad Ibrahim. Turut hadir pada Istiadat Konvokesyen kali ini, Prof. Emeritus Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, Presiden dan Naib Canselor UNISEL.
Sempena Istiadat kali ini, YAD Tan Sri Canselor telah bersetuju mengisytiharkan pelantikan YDM Engku Sri Paduka Di Raja, Raja Dato’ Reza Alhaj Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj sebagai Pro Canselor UNISEL yang baharu. Istiadat pada kali ini meraikan graduan terbaik mengikut pelbagai kategori bagi tahun 2025.
Sebanyak lima orang graduan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti dan 43 graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program di samping enam anugerah utama yang menjadi daya tarikan utama setiap graduan. Berikut merupakan senarai penerima anugerah utama:
1. Anugerah Canselor 2025 – THENMOLY A/P PARAMESWARAN
2. Anugerah Pengerusi 2025 – GANESAN A/L KUMAR
3. Anugerah Exco Pendidikan 2025 – ARIJAH BINTI ABDULLAH
4. Anugerah Naib Canselor 2025 – SAIYIDAH NAFISAH BINTI ABD RAHMAN
5. Anugerah Doktor Falsafah Terbaik 2025 – NORAZLY BIN NORDIN
6. Anugerah Ijazah Sarjana Terbaik 2025 – MUHAMMAD HAMDI BIN MAT SAAD
7. Anugerah Sains Kesihatan SELFA 2025 – NUR AMIRAH BINTI ABDUL RAHMAN
8. Anugerah Presiden BEM 2025 – ROOSHWINI A/P ASOKAN
Pemberian anugerah utama setiap kategori
adalah bukti keprihatinan universiti dalam menghargai kesungguhan serta kegigihan para graduan selama pengajian mereka.
Dalam pada itu, Pesta Konvokesyen UNISEL
2025 berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 September 2025 yang dikendalikan oleh Pejabat Komunikasi Korporat. Pelbagai aktiviti menarik berlangsung antaranya UNISEL Berselawat bersama Ustaz Lah, FBI dan Zayyan FM, Chef in the House Challenge, persembahan Live Band, Vocal Mania, Pertandingan Memancing The Tomanz, gerai jualan serta persembahan artis tempatan.
HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
27 September 2025