UNISEL HASILKAN ‘FACE SHIELD’ DAN ‘HAND SANITIZER’ BANTU FRONTLINER KKM DAN ORANG AWAM

  • Home
  • UNISEL HASILKAN ‘FACE SHIELD’ DAN ‘HAND SANITIZER’ BANTU FRONTLINER KKM DAN ORANG AWAM
Shape

Universiti Selangor (UNISEL) menerusi Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat (FKSH) berjaya menghasilkan alat pelindung muka (face shield) untuk diserahkan kepada kakitangan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia yang terlibat secara langsung dengan pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19.

Ketua Projek, Dr Nazlin Hanie Abdullah berkata sebanyak 100 unit alat pelindung muka berjaya dihasilkan oleh beliau dan pasukannya yang terdiri daripada beberapa orang pensyarah dan staf teknikal FKSH.

Penyerahan alat pelindung muka tersebut berlangsung hari ini di Klinik Kesihatan Bestari Jaya menyaksikan Prof Madya Dr Fridelina Mohd Sjahrir, Dekan FKSH menyerahkan sumbangan tersebut kepada Dr.Noor Aziela Roslan Pegawai Perubatan di klinik tersebut manakala di Klinik Kesihatan Ijok pulak diserahkan kepada Dr Sharmilee, Pakar Perubatan di klinik tersebut.

Dalam pada masa yang sama, pasukan tersebut juga berjaya menghasilkan cecair pensanitasi tangan sejumlah 12.5 liter untuk disumbangkan kepada orang awam sekitar Bestari Jaya dengan kapasiti botol 500ml, 100ml dan 60ml.

Pengagihan cecair pensanitasi tangan tersebut dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar universiti seperti Masjid UNISEL, kolej kediaman, perpustakaan dan di beberapa fakulti serta jabatan. Agihan tersebut turut dilaksanakan di beberapa kawasan umum sekitar UNISEL antaranya stesen minyak, bank dan kedai serbaneka di pekan Bestari Jaya, pekan Ijok dan Saujana Utama.