TKM PULAU PINANG SUMBANG RM50 RIBU BAGI MISI BANTUAN PASCA BANJIR UNISEL

  • Home
  • TKM PULAU PINANG SUMBANG RM50 RIBU BAGI MISI BANTUAN PASCA BANJIR UNISEL
Shape

Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang bagi Misi Bantuan Pasca Banjir UNISEL. Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu menyerahkan cek sumbangan kepada Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya. Menurut YB Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, UNISEL menjadi antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang paling aktif menggerakkan misi bantuan pasca banjir ini. Oleh yang demikian, beliau berbesar hati untuk menyumbang bagi meringankan beban keluarga mangsa banjir di sekitar Selangor. Dalam majlis yang sama, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Kedah turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM15,000 berupa barangan keperluan logistik kepada UNISEL untuk misi bantuan pasca banjir. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam pada itu mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyumbang terutama sekali dari aspek tenaga dan kewangan bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir ini. Terdahulu UNISEL telah menggerakkan keseluruhan aset untuk digunakan oleh sukarelawan bagi membantu misi pasca banjir yang bermula pada 21 Disember. Sehingga kini, seramai 2340 sukarelawan terdiri dari pelajar, kakitangan serta NGO telah menyertai gabungan misi pasca banjir UNISEL.. Antara NGO terlibat adalah Wadah Kedah, ABIM Kedah, PKPIM Kedah, Global Peace Mission Malaysia Selangor, Pertubuhan Nusrah Alami P. Pinang serta pelbagai lagi. Dalam perkembangan yang sama, lebih 300 buah rumah termasuk beberapa buah sekolah telah dibersihkan oleh sukarelawan UNISEL, antaranya di kawasan Permatang, Ijok, Jeram, Padang Jawa, Seri Muda, Hulu Langat serta Kuala Langat. Justeru itu, buat mereka di luar sana yang ingin turut menyumbang dalam misi ini boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Misi Pasca Banjir ke akaun Universiti Selangor, CIMB Bank (8600836700) dengan rujukan BANJIR 2021. Selain dari wang ringgit, kepada mereka yang ingin turut serta menyumbang keperluan makanan kepada petugas dan mangsa banjir serta barangan logistik untuk misi ini boleh berhubung dengan En. Izwan Suhadak Bin Ishak, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti di talian 0176560102. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi Korporat

banjir_tkm1
banjir_tkm2
banjir_tkm3
banjir_tkm4
banjir_tkm5
banjir_tkm6
banjir_tkm7
banjir_tkm8
banjir_tkm9
banjir_tkm10
banjir_tkm11

Previous
Next