UNISEL LANCAR INSTITUT PEMIKIRAN & KEPEMIMPINAN SIDDIQ FADZIL DAN KURSI SIDDIQ FADZIL

  • Home
  • UNISEL LANCAR INSTITUT PEMIKIRAN & KEPEMIMPINAN SIDDIQ FADZIL DAN KURSI SIDDIQ FADZIL
Shape

Y.A.B Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor hari ini berbesar hati merasmikan pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Penubuhan Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil dalam satu majlis khas yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam.

Penubuhan Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil serta Kursi Siddiq Fadzil dibawah kerjasama UNISEL dengan Institut Darul Ehsan (IDE) itu adalah bagi mengenang jasa dan pengorbanan tokoh ilmuwan, Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam menggalakkan usaha wacana keharmonian dan kesederhanaan sepertimana yang telah dipopularkan oleh Allahyarham sebelum ini.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju agar sebuah kursi Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil ditubuhkan bagi meneruskan perjuangan dan pemikiran Almarhum yang masih lagi kita dambakan. Begitu banyak buku dan tulisan Almarhum yang masih belum diteliti untuk dirakyatkan demi kesejahteraan negara dan bangsa,” ujar beliau.

“Kita yakin bahawa ilmu dan pengalaman almarhum tidak harus terhenti disini setelah ketiadaannya. Banyak ruang yang harus diangkat untuk memastikan generasi akan datang akan lebih menghargai sumbangan dan pemikiran tokoh yang bernama Siddiq Fadzil,” tambah beliau lagi.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya berkata, Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh yang sangat dekat dengan UNISEL.

“UNISEL menjenamakan proses pembentukan pelajar menerusi slogan pelajar ‘Budiman’ yang mana mengambil pandangan daripada saranan yang diberikan oleh Almarhum menerusi syarahan demi syarahan yang disampaikan oleh beliau sebelum ini,” ujarnya.

Penubuhan Kursi dan Institut ini juga bakal menjadi nilai tambah kepada UNISEL khususnya dalam bidang penyelidikan yang menjadi teras utama kepada kecemerlangan institusi ini.

Terdahulu, Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil turut berlangsung dan disampaikan oleh tiga panel iaitu Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Presiden Kolej Dar Al Hikmah, Prof. Madya Dr. Zulkifli Hassan, Tim. Rektor Universiti Islam Antarabangsa dan Dr. Nor Salimah Abu Mansor, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Kontemporari Universiti Sultan Zainal Abidin bersama moderator Hasri Harun, Pengarah Institut Maqasid Syari’ah UNISEL.

Turut berlangsung, Peluncuran Buku-Buku Karya Siddiq Fadzil antaranya “Islamic Movement’s Response to Political Scenario of The 90s”, “On Islam & Being Malay”, Minda Melayu Baharu, Maqasid al-Shariah dalam Ranah Demokrasi dan Pemimpin Seribu Wajah Himpunan Ceritera Mengenang Siddiq Fadzil.

Hadir sama sepanjang majlis adalah YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Pengerusi Emeritus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), Datin Dr. Siti Zalikha Md Nor, Isteri kepada Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Pandan, YB Senator Puan Fadhlina Sidek, Ahli Dewan Negara, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS Sdn Bhd.

HASRIL ABU HASSAN
Pengarah Komunikasi Korporat
Universiti Selangor
17 Februari 2022

kursi_siddiq_2
kursi_siddiq_3
kursi_siddiq_4
kursi_siddiq_5
kursi_siddiq_6
kursi_siddiq_7
kursi_siddiq_8
kursi_siddiq_9
kursi_siddiq_10
kursi_siddiq_11
kursi_siddiq_12
kursi_siddiq_13
kursi_siddiq_14
kursi_siddiq_15
kursi_siddiq_16
kursi_siddiq_18

Previous
Next