Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Perhimpunan Bulanan dan Ceramah Ramadan 1444H bersempena bulan Ramadan bagi tahun 2023. Majlis berlangsung di Dewan Canselor, kampus Bestari Jaya dan penstriman secara langsung di Dewan Pro Canselor, kampus Shah Alam. Majlis dimulai dengan Ceramah Ramadan bertajuk ‘Marhaban Ya Ramadan’ yang disampaikan oleh Ustaz Hasri Bin Harun, Pengarah Jabatan Kecemerlangan Penyelidikan (JKPU) UNISEL. Majlis diteruskan dengan ucapan Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL. Beliau dalam ucapannya berharap agar kesemua kakitangan dapat mengimarah bulan Ramadan tahun ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. “Jadikan Ramadan tahun ini sebagai permulaan kepada proses memperbaiki diri agar kita dapat bersama-sama menjadi insan yang cemerlang, bukan sahaja kepada agama malah kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau. Beliau turut berkongsi beberapa informasi terkini dan kejayaan yang telah dikecapi UNISEL sepanjang tiga bulan pertama bagi tahun 2023. Sepanjang tahun 2023 ini, UNISEL akan mengadakan beberapa program antaranya Iftar Ramadan, Jamuan Aidilfitri, Ibadah Qurban serta Perarakan Maulidur Rasul sebagai lambang kebersamaan warga UNISEL. Turut berlangsung adalah penyampaian hadiah kepada pemenang acara ‘Cabaran TikTok #PMX @ UNISEL’. Tempat pertama dimenangi oleh Nurhaniza Darus, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dan Statistik. Tempat kedua dimenangi oleh Nurhidayah Ahmad Yusof, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Abdul Hadi dari Pusat Teknologi Informasi dan Komunikasi. Pengurusan UNISEL turut memberikan sumbangan kurma kepada semua staf bersempena bulan Ramadan manakala Badan Kebajikan Staf UNISEL (BKSU) turut memberi sumbangan wang tunai kepada semua ahli berdaftar. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor22 Mac 2023
Previous
Next