Universiti Selangor (UNISEL) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Sains Politik dan Kemasyarakatan kepada YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada Istiadat Konvokesyen Ke-17. YAD Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj, Canselor UNISEL menyampaikan Ijazah Kehormat tersebut dalam istiadat penuh warna-warni yang berlangsung di Dewan Canselor, UNISEL kampus Bestari Jaya. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Dr. Wan Azizah atas penganugerahan tersebut. “Penganugerahan ini adalah sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan besar yang telah beliau berikan kepada negara serta keprihatinan beliau terhadap UNISEL bagi menjadi sebuah universiti cemerlang,” katanya. “Dato’ Seri Dr. Wan Azizah adalah tokoh yang amat dikenali sebagai seorang wanita berjiwa kental dan pemimpin yang cekal. Selain merupakan wanita pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau juga adalah wanita pertama yang pernah memimpin sebuah parti politik yang besar dan berpengaruh, selain pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen,” katanya. Sepanjang menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, beliau sering kali berkunjung ke UNISEL untuk melihat sendiri perkembangan universiti ini. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor9 September 2023