Karnival Komunikasi dan Media yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai 2024 di Universiti Selangor (UNISEL) telah berjaya mencipta impak yang besar kepada para pelajar dan pengunjung.
Acara ini dianjurkan oleh pelajar pengurusan acara daripada Program Diploma Komunikasi dan Media dan Program Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Korporat) dengan kerjasama daripada Jabatan Komunikasi dan Kelab Komunikasi dan Media (CMC).
“Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Wan Azlan bin Wan Hassan, Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, yang dalam ucapan perasmiannya menyatakan rasa bangga dan berharap acara seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memperkasakan lagi kemahiran pelajar dalam bidang komunikasi dan media.”
Karnival tersebut menampilkan pelbagai slot menarik yang diisi oleh panel industri dan panel alumni UNISEL. Para panelis berkongsi pengalaman serta pengetahuan mendalam mereka dalam bidang komunikasi dan media, memberikan manfaat besar kepada pelajar dan pengunjung yang hadir.
Antara panel yang hadir ialah Dato’ Zuhri Iskandar Kamarzaman, Pengarah Komunikasi Korporat, Pharmaniaga Berhad, Dr. Ghazali Mohamed Fadzil, Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, Kuala Lumpur, Encik Abdul Muqsitt bin Abdul Malik, Eksekutif Perolehan, Urusan Teknologi Wawasan Sdn. Bhd. (anak syarikat MAHB), Cik Nursyifa Binti Abdul Nasir, Mantan Wartawan Astro Arena, dan Pheobe Syafinaz binti Jasni, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat, R Beaute Sdn Bhd.
Selain itu, karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pelajar yang kreatif dan interaktif, serta deretan kedai jualan yang menawarkan pelbagai barangan menarik. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran mereka dalam perancangan dan pengurusan acara.
Karnival Komunikasi dan Media 2024 berjaya menarik perhatian ramai dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak pengisian yang menarik dan bermanfaat.
Nurul Asyikin binti Deraman
Pensyarah Jabatan Komunikasi
5 Julai 2024