KEPELBAGAIAN KURSUS, PENGANTARABANGSAAN TARIK MINAT PELAJAR KE UNISEL

  • Home
  • KEPELBAGAIAN KURSUS, PENGANTARABANGSAAN TARIK MINAT PELAJAR KE UNISEL
Shape

Selepas dua tahun Istiadat Konvokeyen Universiti Selangor (UNISEL) tertangguh akibat pandemik Covid-19, impian Fareeshatul Atirah Zulkarnain untuk naik ke pentas menerima skrol Ijazah Sarjana Mudanya tercapai hari ini. Graduan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial itu berkata beliau sepatutnya bergraduat pada tahun 2020 namun akibat pandemik, Istiadat terpaksa ditangguhkan. Namun begitu, beliau berasa amat gembira apabila UNISEL membuat pengumuman untuk mengadakan Istiadat kepada graduan tahun 2020 dan 2021. “Ini merupakan kali pertama saya naik pentas untuk menerima skrol dan sebagai anak sulung dalam keluarga, saya amat gembira kerana dapat membanggakan ibu, ayah dan keluarga saya pada hari ini,” “Saya sendiri pilih untuk belajar di UNISEL kerana suasananya yang sangat menarik ditambah lagi dengan statusnya sebagai universiti pertama di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Sebagai anak Selangor, saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada warga UNISEL,” Selain lokasinya berdekatan dengan kediaman, sokongan daripada ibu dan bapa juga menjadi tunjang utama Fareeshatul Atirah memilih UNISEL. “Saya ingin berterima kasih kepada keduanya kerana sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada saya selama ini,” ujarnya. Menurut bapanya, Prof. Madya Dr. Zulkarnain Abdul Rahman, beliau amat memuji UNISEL yang kini di bawah kepimpinan Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman. “Apa yang saya dapat lihat dari mula anak saya belajar di sini sehingga tamat pengajiannya, terdapat banyak peningkatan dari pelbagai aspek antaranya yang paling penting bagi saya adalah kepelbagaian kursus yang ditawarkan yang mana selari dengan keperluan dan kehendak industri masa kini,” Beliau yang merupakan Ketua, Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM) berkata, dari segi kepakaran akademik pula, UNISEL mempunyai kakitangan akademik yang terkenal dan pakar dalam bidang masing-masing. Ini menjadi nilai tambah yang menjadikan UNISEL sebagai institusi pendidikan yang cemerlang. “Selain itu, saya turut mengkagumi aspek pengantarabangsaan yang diketengahkan yang mana selari dengan hasrat untuk melonjakkan nama UNISEL di peringkat antarabangsa,” “Saya juga dapat lihat graduan yang hadir bukan sahaja dari semenanjung malah ada pelajar yang datang dari Sabah dan Sarawak. Mereka sangat gembira dan teruja mengikuti kursus di sini sehingga berjaya menamatkan pengajian mereka,”“Satu perkara yang amat menarik perhatian ibu bapa yang hadir termasuk saya adalah ucapan Presiden dan Naib Canselor yang menekankan aspek integriti, perlu benci rasuah dan menolak segala hal-hal yang berkaitan dengan penyelewengan kuasa. Bagi saya, itu adalah satu peringat yang sangat bermakna pada hari yang sangat bersejarah bagi mahasiswa dan mahasiswi yang bergraduat pada hari ini,” “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mahasiswa dan mahasiswi UNISEL yang bergraduat pada hari ini. Syabas untuk semuanya,” ujar beliau mengakhiri perbualan. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor12 Jun 2022

MINAT_PELAJAR2
MINAT_PELAJAR3
MINAT_PELAJAR4

Previous
Next