LIMA GRADUAN ORANG ASLI TERIMA DIPLOMA UNISEL

  • Home
  • LIMA GRADUAN ORANG ASLI TERIMA DIPLOMA UNISEL
Shape

Mahu mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli mendorong lima sekawan menyambung pengajian mereka ke Universiti Selangor (UNISEL). Mereka adalah Rosnurmisya A/P Radin, Rossihan A/P Angah, Elissa A/P Mahadil, Sasarika A/P Alias dan Jesycca A/P Jose. Kelima-lima mereka merupakan graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di bawah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial. Kesemua mereka menerima penganugerahan diploma daripada Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor sempena sidang ketiga Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-17. Menurut Rosnurmisya, dia tidak menyangka dapat menamatkan pengajian memandangkan pada awalnya minat beliau pada program pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) agak kurang. Namun, beliau mengambil itu sebagai satu cabaran dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian. Graduan tajaan Biasiswa Sagong Tasi itu berkata, beliau amat bersyukur kerana UNISEL membuka peluang seluasnya kepada pelajar dari masyarakat Orang Asli untuk melanjutkan pengajian. Bagi Rossihan, beliau berasa sangat seronok dapat melanjutkan pengajian di UNISEL kerana dapat terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum yang dianjurkan oleh universiti. Malah, beliau juga gembira kerana dapat bergraduat dengan rakan sebangsanya. Presiden dan Naib Canselor dalam pada itu memberi pengharapan yang tinggi kepada kelima-lima graduan untuk menjadi duta kepada masyarakat Orang Asli khususnya di negeri Selangor. “UNISEL menyediakan peluang pendidikan kepada semua. Saya berharap agar kesemua lima pelajar dari masyarakat Orang Asli dapat menjadi pemangkin kepada rakan-rakan mereka yang lain untuk melanjutkan pengajian di UNISEL,” katanya. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor10 September 2023

graduan_orangasli2
graduan_orangasli3
graduan_orangasli4
graduan_orangasli5
graduan_orangasli6
graduan_orangasli7