Universiti Selangor (UNISEL) hari ini mengadakan Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2022/2023 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Senat, UNISEL Bestari Jaya. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar para MPP yang dilantik dapat menggunakan peluang ini sebagai platform untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan bergerak lebih maju kehadapan. “Ikrar yang dilafazkan mempunyai makna dan pengertian yang amat besar. Barisan MPP perlulah bersedia dengan amanah yang diberikan dan bersama-sama berganding bahu dalam membawa UNISEL ke arah kecemerlangan”, ujar beliau. “Besar harapan saya agar barisan MPP UNISEL yang baharu ini dapat menggalas cabaran dengan penuh bersemangat. Saya juga ingin mengingatkan para MPP untuk memainkan peranan anda dan menyantuni kesemua pelajar dari pelbagai latar belakang yang berbeza,” ujar beliau lagi. Beliau dalam pada itu turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan MPP UNISEL sesi 2019/2020 atas sumbangan dan perkhidmatan yang telah diberikan pada sesi terdahulu. “Jadikan pengalaman anda sepanjang meneraju kepimpinan pelajar ini sebagai satu nilai tambah untuk diri anda sendiri. Semoga pelantikan ini menjadi titik tolak dalam melahirkan pemimpin yang hebat di luar sana kelak,” tambah beliau lagi. Di akhir program, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman menyampaikan penyerahan Watikah Pelantikan Kepada MPP UNISEL Sesi 2022/2023. Lafaz bacaan ikrar turut berlangsung diketuai oleh saudara Mohamad Kairul Rizwan bin Abdullah, Presiden MPP sesi 2022/2023. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi Korporat4 Julai 2022
Previous
Next