PELAJAR KENYA TERIMA ANUGERAH TERBAIK PROGRAM

  • Home
  • PELAJAR KENYA TERIMA ANUGERAH TERBAIK PROGRAM
Shape

“Saya berasa sangat bangga dan gembira kerana berjaya menamatkan empat tahun pengajian di sini,” ujar Harvey Muthomi Lenya, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian Universiti Selangor (UNISEL). Beliau yang bergraduat pada Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-16 itu turut merangkut Anugerah Terbaik Program pada istiadat yang berlangsung di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya. Graduan yang berasal daripada Kenya itu begitu teruja kerana kedua-dua ibu bapanya turut hadir dari Kenya untuk meraikan hari istimewanya hari ini. Tambah beliau, bergelar mahasiswa dalam bidang kejuruteraan awam bukanlah satu perkara yang amat mudah. “Namun, berkat sokongan rakan-rakan dan pensyarah telah menaikkan semangat saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat menamatkan pengajian tepat pada masanya. Saya amat sukakan persekitaran kampus UNISEL yang sangat tenang dan hijau. UNISEL menyediakan fasiliti lengkap dan kesemua pensyarah banyak membantu saya sepanjang pengajian di sini,” ujar beliau. “Terima kasih juga saya ucapkan kepada kakitangan UNISEL terutama sekali Pejabat Antarabangsa yang mempermudahkan segala urusan saya di sini dari hari pertama mendaftar sehingga berjaya menggengam segulung ijazah,” tambah beliau lagi. Menurut Jeremiah Lenya M’eringoh, bapa kepada Harvey, beliau ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada UNISEL kerana berjaya membentuk anaknya menjadi sorang graduan yang cemerlang. Beliau yang juga merupakan ‘Lands Minister, County Government of Meru-Kenya’ berharap anaknya bakal menjadi pemimpin yang dapat membangunkan negara Kenya kelak. “Kami sekeluarga datang dari Kenya untuk meraikan hari konvokesyen Harvey di UNISEL. Saya berasa amat teruja melihat Istiadat pada hari ini dan kagum dengan layanan yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. UNISEL adalah universiti terbaik kerana berjaya melahirkan modal insan cemerlang dan semestinya UNISEL adalah pilihan terbaik untuk pelajar melanjutkan pengajian mereka di peringkat tinggi,” ujar beliau mengakhiri bicara. HASRIL ABU HASSANPengarah Komunikasi KorporatUniversiti Selangor3 Disember 2022