Perpustakaan Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya menganjurkan pameran Istiadat Konvokesyen UNISEL Kali Ke-17 dan Hari Kemerdekaan serta Sambutan Hari Malaysia bermula hari ini. Majlis perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor. “Objektif pameran ini adalah untuk menyampaikan maklumat berkaitan sejarah kemerdekaan Malaysia serta maklumat berkaitan Universiti Selangor. Pada tahun ini, bersempena Bulan Kemerdekaan ke-66 dan Hari Malaysia ke-60 pihak perpustakaan telah memilih tema ‘Watikah Pemasyuran Kemerdekaan’,” katanya. “Pameran kemerdekaan kali ini bakal membawa pengunjung untuk bersama-sama merasai pengembaraan masa ke satu dekad yang telah mengubah sejarah negara kita. Pameran ini juga bakal menyingkap kapsul masa tokoh-tokoh yang telah menempa nama melakar sejarah negara kita bermula dari zaman Bapa Kemerdekaan sehinggalah tokoh masa kini,” katanya. Pihak Perpustakaan UNISEL juga pada tahun ini telah mempelbagaikan lagi bahan-bahan pameran untuk tatapan para pengunjung antaranya koleksi Buletin UNISEL, Buku Transformasi, gambar-gambar Naib Canselor, koleksi album, koleksi buku Istiadat Konvokesyen, koleksi teras strategik serta koleksi jubah. Di majlis yang sama, turut berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Pertandingan Video Pendek Cabaran Tiktok dimana tempat pertama dimenangi oleh Saudari Subaashini A/P Mohanasundram yang membawa pulang hadiah berupa tambah nilai Touch N Go bernilai RM150 beserta sijil penyertaan. Tempat kedua pula dimenangi oleh Afifah Jainuddin, Nurfatin Farisha Othman dan Putri Aulia Mohammad Zulkilfi Rimeo yang membawa pulang hadiah berupa tambah nilai Touch N Go bernilai RM100 besertakan sijil penyertaaan. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayang Nurshahira Affiena Abang Masen yang mana membawa pulang tambah nilai Touch N Go bernilai RM50 besertakan sijil penyertaan. Hadir memeriahkan majlis adalah Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh, Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar & Jaringan Komuniti, Hafiz Abdul Rahim Ketua Perpustakaan dan pengurusan tertinggi UNISEL serta kakitangan UNISEL.